بسم الله الرحمن الحيم 

Apakah erti perkataan “Tajwid”?

Mengikut sudut bahasa, Tajwid membawa erti “memperelok” atau “memperbaiki”. Dari sudut istilah pula, Tajwid merupakan suatu ilmu untuk mengetahui cara melafaz huruf-huruf AlQuran dengan betul. Sebahagian ulama menambah makna Tajwid dengan menunaikan hak huruf AlQuran, makhraj dan sifat-sifatnya, dengungnya, panjang pendek serta tebal tipis sebutannya mengikut sebutan yang diajarkan kepada Rasulullah oleh Jibril as.

Mempelajari Ilmu Tajwid adalah fardhu kifayah namun mempraktikkannya dalam bacaan adalah fardhu ‘Ain. Apapun tafsir atau takrifnya, Ilmu tajwid dapat kita rumuskan sebagai satu peraturan dan penelitian dalam pembacaan AlQuran. Tiada kitab selain AlQuran didunia ini yang menitik beratkan peraturan pembacaan dengan begitu teliti sekali.

Kalaulah AlQuran itu kehidupan, maka Tajwid itu tentu sekali merupakan panduan pada kehidupan itu sendiri yang memerlukan peraturan dan penelitian yang amat penting demi memandu layar kehidupan. Maka kalau mempelajari panduan dan peraturan kehidupan itu bak fardhu Kifayah, melaksanakannya dalam kehidupan tentu sekali fardhu ain yang akhirnya melenyapkan alasan untuk tidak mempelajarinya. 

Membaca AlQuran tanpa tajwid seakan-akan melayari kehidupan tanpa panduan, yang akan menjemput berbagai kepincangan dan masalah. Terdapat sebahagian umat Islam yang tidak mementingkan pembelajaran Ilmu Tajwid dengan alasan bahawa kita tidak akan ditanya didalam kubur nanti akan hukum-hukum mad dan qasar atau makhraj dan sifat huruf maka mereka tidak melihat kepentingan mempelajarinya.

Kalau difikirkan, apakah yang menjadi Sunnah Rasulullah yang pertama dilakukannya diantara berbagai sunnah-sunnah beliau, kita mungkin akan terlupa bahawa perkara pertama yang menjadi titik tolak permulaan nubuwwah adalah wahyu pertama yang beliau terima iaitu “Arahan Membaca AlQuran” dan disusuli dengan “Mentartilkan” pembacaan AlQuran kerana mengikut kebanyakan kitab Tarikh AlQuran, awal surah Al-Muzzammil merupakan diantara kelompok ayat yang terawal diturunkan kepada Rasulullah.

Maka mereka yang enggan membaca AlQuran dan mengingkari mempelajari cara-cara pembacaannya seakan-akan mengetepikan sunnah terawal yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Apalah gunanya sekiranya segenap malam dan siang kita sibuk berdebat tentang sunnah sedangkan kita tidak menjadikan pembacaan AlQuran sebagai santapan harian malah memperlekehkan mempelajari kaedah pembacaannya.

Marilah kita kenang segala peristiwa penurunan wahyu yang bermula daripada Lauh Mahfuz kedada Rasulullah selama 23 tahun selama kehidupan Rasulullah yang penuh dengan berbagai cabaran, kemudian pengumpulan AlQuran dizaman Sayidina Abu Bakar ketika ramai para Huffaz terkorban dalam peperangan dan setelah itu pada zaman Sayidina Uthman demi menyelaraskan AlQuran daripada terjadi perbalahan dikalangan umat ketika itu. Kemudian penulisan AlQuran diselaraskan dengan kaedah-kaedah nahu dan sarafnya, diletakkan noktah dan baris dan terkemudianya dimasukkan tanda-tanda waqaf dan ibtida’ serta beberapa tanda-tanda agar pembacaan AlQuran itu dapat dimudahkan bagi umat Islam diluar bangsa arab.

Menjelang kurun kedua selepas hijrah, Ilmu Qiraat dikemas kini dimana dibentangkan berbagai wajah bacaan yang penuh hikmah dengan pengaruh berbagai wajah bacaan tersebut keatas ilmu tafsir dan sekaligus menjadikan AlQuran itu satu Kitab yang penuh dengan Ilmu yang tidak mungkin dapat diletakkan harga padanya.

Kesan sejarah tersebut yang hanya dapat diringkaskan dengan beberapa baris diatas itu sebenarnya mengandungi bertahun-tahun usaha dan perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya dalam melengkapkan AlQuran yang mushafnya kita pegang hari ini, siap dicetak dengan berbagai kecanggihan dan dihiasi dengan berbagai bentuk agar ianya menjadi kebanggaan umat terkini. Maka celakalah kita seandainya kita gagal menghargai segala pengorbanan dan perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabatnya. Sekurang-kurangnya, kita mulakan dengan membacanya dan kemudiannya mempelajari kaedah pembacaannya.

Apa yang dapat kita lihat, AlQuran yang kita baca hari ini merupakan rentetan dan rangkaian perhubungan Allah dengan hambanya dalam memupukkan makna penyerahan hamba terhadap Khaliqnya.

AlQuran dikumpulkan secara keseluruhannya diLauh Mahfuz sebelum diturunkan kelangit dunia, melambangkan kebesaran pentadbiran kerajaan langit, kemudian ianya diturunkan secara berperingkat dengan perantaraan Jibril, melambangkan perlaksanaan undang-undang kerajaan langit. Seterusnya ianya dipahatkan kedada Rasulullah dengan terjamin setiap huruf pada lafaznya, melambangkan keagungan khazanah kerajaan langit dan akhirnya disebarkan kepada para sahabat, melambangkan keihsanan kerajaan langit. Urutan peristiwa penurunan AlQuran tadi melibatkan Tuhan, Malaikat, Rasul dan Manusia, yang melambangkan perhubungan manusia dengan Penciptanya.  

Justru itu, kenalah pada tempatnya AlQuran itu dipelihara pembacaannya dengan berbagai kaedah Ilmu Tajwid dan Qiraat yang tidak akan terkesan dengan apa jua serangan dari luar.

Firman Allah pada surah Al-Hijr ayat 9

                   إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ 

“Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya.”

Berbahagialah hati mereka yang ada AlQuran didalamnya.

 

BAB 2

AL-ISTI’ADZAH

( اَلإِسْتِعَاذَةُ )

Seluruh ulama Qurra bersepakat akan perintah membaca Isti’adzah sebelum memulakan pembacaan AlQuran sebagaimana difirmankan Allah pada surah An-Nahl ayat 98. Yang menjadi ikhtilaf dikalangan mereka hanyalah pada sunnat atau wajib membacanya.

          فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

“Maka itu, apabila Engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah Engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan Yang kena rejam.”

Dari sudut bahasa, Isti’adzah membawa makna “berlindung” manakala dari sudut istilah membawa makna “lafaz memohon perlindungan dengan naungan Allah daripada syaithan yang direjam (dilaknat). Ia juga biasa disebut dengan Ta’awudz( تَعَاوُذ).

Apakah tujuan Allah memerintahkan kita untuk berta’awudz ketika ingin memulakan pembacaan AlQuran, sedangkan AlQuran itu sendiri adalah Kalamul-Quddus dan merupakan kata-kata Allah yang dipenuhi hikmah dan I’jaz?” Perkara ini boleh kita jadikan sandaran bahawa syaithan itu tetap akan menyerang sesiapa sahaja dengan niat jahatnya walau dalam ibadah apa sekali pun. Maka Allah SWT dengan penuh kasih dan rahmahnya mengingatkan kita untuk tidak lupa memohon perlindungan kepadaNya.

Sudah menjadi kelaziman setiap kelahiran bayi disambut dengan azan dan iqamah langsung ketelinganya. Apapun niat setiap bapa atau orang yang melakukan amalan ini, dapat kita katakan bahawa tersemat niat dihati pelakunya agar bayi yang baru lahir itu dilindungi daripada segala bentuk ancaman atau gangguan daripada syaithan dan apa jua bahaya yang wujud disekilingnya. Amalan tersebut merupakan satu permohonan perlindungan kepada Allah daripada bencana gangguan syaithan. Inilah Al-Isti’adzah dalam kelahiran. Daripada kita sibuk mempertikaikan kesahihan amalan tersebut mengapa tidak kita renungkan intisari dan ruh perbuatan tersebut yang tentu sekali seiring dengan seruan Allah untuk kita beristi’adzah. Sayugia itu, setiap orang yang mengamalkannya perlu memusatkan niat masing-masing kearah permintaan perlindungan tersebut.

Kita juga memulakan hari kita dengan menunaikan solat subuh setiap hari. Bangkitnya kita diwaktu subuh ibarat mulanya kehidupan kita pada hari tersebut disamping kita bersyukur masih lagi diberikan kesempatan untuk hidup, wajarlah kita mulakan hari tersebut dengan berta’awudz dalam apapun bentuk walaupun hanya gerakan kecil didalam hati.

 


   
 
 ab toners 
 

Usrah mingguan untuk bekas tahanan setiap malam Jumaat diPusat Pergas, tingkat 3 Wisma Indah bersebelahan Masjid Kasim

 


Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com