basmalah  

Segala pujian bagi Tuhan yang telah melakarkan layar kehidupan junjungan besar Rasulullah dengan AlQuran dan memahatkan segenap kalimah didalam dada RasulNya agar terjamin kesucian khazanah yang akan menjadi perlembagaan kehidupan dialam maya ini hingga keakhirnya. 

Selawat dan salam keatas junjungan besar Rasulullah SAW, keatas ahli keluarganya , para sahabat, tabi’in dan kesemua mereka yang mengikuti manhaj yang diwasiatkannya keatas seluruh umat manusia. 

AlQuran ibarat lakaran kehidupan Rasulullah yang disajikan buat semua umat manusia agar dapat digarap segala mukjizat yang terkandung didalamnya guna menghidupkan sirah nabawiyah agar ianya sentiasa segar dalam jiwa manusia walaupun sudah berkurun kewafatan junjungan yang tercinta. 

Hari ini, dikala musuh-musuh Islam giat mencari berbagai-bagai helah dan fitnah untuk mencemarkan kesucian Alquran, ramai diantara kita masih lagi enggan melihat Alquran dari sudut mata hati dan mencari makna sebenar peranan AlQuran terhadap kehidupan kita dizaman yang sangat mencabar ini. Namun setelah hampir 14 kurun berlalu masih lagi terdapat ramai diantara kita yang masih buta huruf AlQuran dan tidak mampu membacanya, manakala yang lainnya walaupun sudah mampu membacanya namun tidak menjadikan AlQuran sebagai santapan kehidupan harian. 

Firman Allah diawal surah Al-A’laq 

                         اقرَأ بِاسمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ 

Wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada RasulNya datang dalam bentuk arahan membaca yang diserukan kepada sesaorang yang tidak tahu membaca. Bukankah itu satu perkara yang agak ganjil dimana sesaorang yang memang tidak tahu membaca diarahkan untuk membaca? Namun yang mengarahkan itu adalah yang Maha Mengetahui Rabbul A’lamin, maka perlu kita renungkan apa yang tersirat pada arahan tersebut seakan akan membawa erti bahawa tidak ada alasan kukuh bagi sesiapa sahaja untuk tidak membaca AlQuran. 

FirmanNya lagi diawal surah Al-Muzzammil                 

                            وَرَتِّلِ القُرءَانَ تَرتِيلاً                     

“dan bacalah Al-Quran dengan "TARTIL".

Ayat ini seakan-akan memberi panduan kaedah dan cara-cara AlQuran itu perlu dibaca yang tentu sekali memerlukan setiap pembacanya mempelajari selok belok pembacaan kerana AlQuran itu sendiri bukanlah hanya sebuah buku, tulisan, makalah, atau bahan bacaan yang terdapat berjuta banyaknya dizaman kita ini. Bahkan AlQuran itu khazanah dari langit, kalam dari Sang Pencipta, yang bukan sahaja isi kandungannya perlu diteliti bahkan cara membacanya juga perlu dipelajari. Maka lahirlah Ilmu Tajwidul Quran yang kita pelajari serta kebelakangan ini Ilmu berbagai Qiraat AlQuran yang sudah mula mengambil hati ramai pembaca AlQuran.

 Setiap tahun kita disajikan dengan berbagai arena “Musabaqah AlQuran” dimana kita amat berbangga melihat AlQuran itu dimartabatkan bacaannya oleh pembaca dari berbagai bangsa yang disatukan dengan sebutan kalamullah dengan penuh kefasihannya. Namun apakah tujuan sebenarnya kita mempelajari Ilmu Tajwid? Cukupkah setakat mengetahui istilah-istilah seperti Izhar, ikhfa’, idgram dan iqlab serta hukum-hukum bacaan yang terdapat padanya ataupun cara-cara mengeluarkan huruf dan menyebut lafaz-lafaz tertentu dalam berbagai Qiraat? 

Perhatikan intisari pada firman Allah dalam surah An-Nisaa ayat 82

اَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰنَ‌ؕ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللّٰهِ لَوَجَدُوْا فِيْهِ اخْتِلَافًا كَثِيْرًا       ‏  

“Patutkah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

Ayat ini juga terkait dengan Ayat 24, surah Muhammad

                 أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا   

“Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

Kedua-dua ayat diatas tadi membawa erti bahawa AlQuran itu mengandungi makna-makna yang tersirat yang hanya dapat dilihat dengan mata hati dan bukan hanya dengan mata kepala. Proses ini disebut “tadabbur”. 

Imam AlQurthubi, didalam kitab tafsirnya menjelaskan bahwa kedua-dua ayat tadi membawa makna bahawa adalah menjadi kewajiban bagi pembaca AlQuran untuk ‘mentadabburkan’ AlQuran untuk mendapatkan rahsia isi kandungannya. 

Perkara ini kalau diteliti akan memberi kita satu panduan bahawa AlQuran itu adalah kehidupan, yang mempunyai jasad dan ruh sebagaimana yang dirasai oleh manusia. Maka rugilah mereka yang gagal menggarap erti kehidupan yang dititpkan Allah didalam AlQuran.

Pada ayat 52, surah Asy-Syuraa Allah SWT mentakrifkan AlQuran sebagai “ruh” dan “cahaya” yang diwahyukan agar dapat memberikan kehidupan dan iman pada manusia.

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلاَ الاِِيمَانُ وَلَكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا نَّهْدِي بِهِ مَنْ نَّشَاء مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ 

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh dari perintah kami; Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya Yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk Dengan Al-Quran itu ke jalan Yang lurus.”

Imam AlQurthubi, dalam mentafsirkan perkataan “ruh” pada ayat ini menisbahkannya pada beberapa perkara diantaranya termasuk “AlQuran”, “Kehidupan”, “AlKitab” dan “Jibril AS”.

Justru itu wahai para pembaca AlQuran sekelian, perlulah kita fikirkan akan manhaj pembacaan AlQuran yang selama ini kita usahakan dan lakukan, dimanakah kiblat pembacaan kita dan apakah yang telah kita raih dari bertahun-tahun membacanya. Dapatlah kita rumuskan beberapa tingkatan pembaca AlQuran seperti berikut:

1.   Mereka yang tidak tahu dan tidak mampu membaca AlQuran

2.   Mereka yang tahu membaca tetapi tidak tahu hukum bacaan

3.     Mereka yang tahu membaca, tahu hukum bacaan tetapi tidak mahu menjadikan pembacaan sebagai amalan harian

4.   Mereka yang tahu membaca, tahu hukum bacaan tetapi tidak mahu mentadabbur makna pembacaan

5.   Mereka yang tahu membaca, tahu hukum bacaan dan mentadabburkan maknanya sekaligus membuka jalan untuk mematuhi segala arahan dan menjauhi segala larangan.

Dengan demikian nescaya kita dapat gambarkan bahwa perjalanan membaca AlQuran merupakan perjalanan kehidupan yang berterusan dengan berbagai peningkatan amal ibadat yang bersangkutan dengannya. Setiap komponen Ilmu Tajwid mempunyai ruhnya tersendiri yang merangkumi lebih daripada hukum-hukum pada bacaan bahkan dapat kita kaitkan dengan kehidupan. Dengan itu kita akan lebih mengerti matlamat Ilmu Tajwid itu sendiri dalam membentuk peribadi pembaca AlQuran agar kita tidak akan tersilap dalam meletakkan niat kita dalam mempelajarinya.

Bagi mereka yang mempelajari AlQuran dengan tujuan selainnya, mithalnya untuk menjuarai musabaqah atau sebagainya, perjalanan itu akan terhenti sebaik sahaja matlamat tersebut telah tercapai sedangkan AlQuran itu adalah mutiara kehidupan yang akan kekal tersemat didada penghafalnya sehingga Hari Kebangkitan.

Ruangan ini saya jadikan satu coretan pengalaman dalam mengajarkan AlQuran pada para banduan-banduan dipenjara dimana pendekatan “Ruhul Quran” diterapkan bersama-sama Ilmu Tajwid dan segala perkara yang berkaitan dengannya. Harapan saya agar kita kelak dapat mewujudkan satu generasi pembaca AlQuran yang bukan hanya mahir dari sudut pembacaannya malah yang lebih penting lagi mempunyai wadah dan hala tujuan akan isi kandungan bacaan itu sendiri dalam membentuk masyarakat yang buta huruf AlQuran kearah kesejahteraan dalam kehidupan.

Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan lafazh “sebaik2 kamu” pada hadith yang sangat masyhur sekitar pembelajaran dan pengajaran AlQuran yang berbunyi:

خيركم من تعلم القرءان و علمه 

 “Sebaik kamu yang mempelajari AlQuran ialah yang mengajarkannya”  

Inilah satu pengi’tirafan yang diberikan oleh Rasulullah kepada semua pelajar AlQuran untuk menjadi pengajarnya.  Moga-moga Allah SWT memberi kekuatan dan istiqamah buat diri saya untuk mengabdikan perjuangan hidup ini kepada Kitab Suci AlQuran.  


   
 
 ab toners 
 

Usrah mingguan untuk bekas tahanan setiap malam Jumaat diPusat Pergas, tingkat 3 Wisma Indah bersebelahan Masjid Kasim

 


Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com