BERITA HARIAN KHAMIS 10 SEP 2009


iftar


SINGAPURA

AP Melayu sumbang $15,000 bagi program kaunseling banduan

Oleh
Shamsul Jangarodin
 

SEJUMLAH $15,000 telah dikumpulkan kesemua 12 Anggota Parlimen (AP) Melayu untuk diderma kepada pembangunan Program Kaunseling Intensif bagi banduan.

Program melibatkan penerbitan sebuah buku panduan dan latihan amali bagi para kaunselor yang membimbing tahanan itu diusahakan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Menelan belanja hampir $40,000, ia bertujuan membekalkan banduan dengan kemahiran hidup, seperti panduan mencari pekerjaan dan menguasai kemahiran dengan lebih baik dan berkesan serta pendidikan agama menyeluruh.

Konsep program itu dilakar semasa Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) 2008.

Selain sumbangan daripada para AP, dana selebihnya adalah daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan CLF.

Cek bernilai $15,000 itu diserahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, kepada Ketua Persahabatan Muslim Penjara di bawah naungan Pergas, Ustaz Salim Mohamed Yusoff, dalam satu majlis iftar bersama sekitar 50 banduan di Penjara Changi semalam.

Majlis itu turut dihadiri tujuh AP Melayu/Islam - Encik Zainul Abidin Rasheed, Encik Hawazi Daipi, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Mohamad Maliki Osman, Encik Zainudin Nordin, Dr Ahmad Mohd Magad dan Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Jamuan iftar itu - nasi beriani, ayam kurma, dalca, acar dan air bandung - dimasak dan disajikan oleh para banduan itu.

Dalam ucapannya, Dr Yaacob mengalu-alukan penerbitan buku panduan itu, yang bakal digunakan sebagai bahan utama pengajaran oleh asatizah yang akan mengendalikan program tersebut.

'Kita tahu bahawa angka bagi banduan masyarakat Melayu terlalu tinggi. Dengan adanya buku panduan ini, lebih banyak asatizah dan bukan asatizah dapat dilatih untuk membantu mereka kembali ke dalam masyarakat,' kata Dr Yaacob.

Bagi Ustaz Salim, program itu boleh meningkatkan kesedaran banduan bahawa masih ada peluang bagi mereka menikmati kehidupan lebih baik.

'Kami juga alu-alukan mereka yang pernah menjalani program terdahulu supaya tampil sebagai mentor atau sukarelawan bagi program after-care kami,' kata Ustaz Salim.

Seorang banduan berusia 50 tahun yang sudah 14 tahun meringkuk dalam penjara akibat dadah menyambut baik program itu.

'Setidak-tidaknya saya tahu masih ada orang ambil berat tentang kami dan saya amat berterima kasih,' katanya.



   
 
 ab toners 
 

Usrah mingguan untuk bekas tahanan setiap malam Jumaat diPusat Pergas, tingkat 3 Wisma Indah bersebelahan Masjid Kasim

 


Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com